INSOMNIACKS Lepas Geram Menerusi “Kepala Batu”

Medinafm (Garut) – Menerusi pencapaian single kedua Pulang yang luar biasa, Insomniacks telah mendapat pengiktirafan sebagai lagu yang paling banyak di-stream pada tahun 2019 dan satu-satunya kumpulan mencatatkan Lagu Paling Lama sehingga kini yang berada dalam Carta RIM (Persatuan Industri Rakaman Malaysia) dan menerima 5x platinum dari hasil penjualan digital dan kini Insomniacks kembali dengan single yang ketiga iaitu ‘Kepala Batu’.

Masa muda remaja sememangnya fasa peralihan penting menuju kematangan dan pada fasa inilah segala rasa geram dan memberontak wujud. Demikian juga dirasakan kumpulan Insomniacks apabila lagu terbaru mereka ini berjudul ‘Kepala Batu’ dijadikan sebagai medium terbaik menggambarkan perasaan itu. Lagu ciptaan Taja dan lirik oleh vokalis Insomniacks sendiri, Iqie itu ternyata menyerlahkan lagi keterbukaan band terbabit tampil dengan karya yang bersifat peribadi.

Bukan sekadar mengawal sepenuhnya daripada segi susunan muzik yang tepat dengan jiwa, bahkan terhadap bait-bait liriknya juga penuh berani. Sesuailah dengan jiwa remaja empat anggota kumpulan insomniacks iaitu Iqie, Wan Iskandar, Danial dan Gavin yang sentiasa dambakan banyak perkara dalam hidup pada usia muda ini.

Mereka mahu ada kepercayaan diri sendiri dalam misi memperjuangkan sesuatu baik hal perbadi, cinta, keluarga, mahupun kerjaya. Elemen itu sangat penting untuk ditanam di setiap jiwa remaja mereka. Disebabkan itu, Iqie mengakui idea berkenaan tercetus untuk diceritakan menerusi lagu ‘Kepala Batu’.

Mendengar tajuknya saja, ramai pasti memiliki tafsiran tersendiri sama ada tajuk itu kasar atau tidak. Apapun, menurutnya tajuk itu memang dipilih sebagai menyimpulkan inti pati mesej yang cuba mereka sampaikan dalam lagu berkenaan. “Dalam konteks lagu ini sendiri, kepala batu itu bermaksud degil.

Liriknya banyak menceritakan mengenai apa yang kami rasakan sepanjang berada dalam industri muzik. Meskipun kerap mengutarakan idea sendiri namun idea itu sering ditolak.

”Justeru dalam lagu ini, kami ingin menyampaikan bahawa tidak salah menjadi degil untuk tujuan yang betul. Kita harus memperjuangkan perkara yang kita percaya dan sangat cintakan dalam hidup. Kalau orang lain tak faham, jangan peduli mereka tapi paling utama kena percaya pada diri-sendiri,” katanya.

Mendengar melodinya pula, ‘Kepala Batu’ tidak banyak lari daripada karya terdahulu mereka dan masih sarat dengan elemen pop rock. Seiring dengan keremajaan mereka, cara lontaran Iqie untuk bahagian vokal juga dilakukan lebih nakal namun tegas. Namun begitu, dia tidak menafikan penghasilan lagu ini agak mencabar juga.

“Saya rasa lagu ini paling kompleks daripada segi susunan dan komposisinya jika dibandingkan dengan lagu-lagu sebelum ini. Daripada segi penggunaan instrumen pula, lagu ini ada banyak persamaan dengan single lama kami Selalu berbanding Pulang,” katanya.

Dalam pada menaikkan topik keras kepala dalam lagu ini, Insomniacks berharap pendengar mengintepretasi mesej lagunya daripada sudut positif. Mereka tahu, bukan semua bernasib baik dianugerahkan kehidupan yang indah. Namun, menerusi lagu ‘Kepala Batu’, mereka berharap ia jadi pedoman buat yang hidupnya penuh kesulitan.

“Sebenarnya lagu ini membawa mesej yang sangat baik jika didengari dan dihadam secara teliti. Liriknya sangat dekat dengan jiwa kami sendiri dan mempunyai nilai peribadi yang cukup besar mengenai hidup kami. Kami yakin, ramai di luar sana juga pasti merasai perkara sama seperti dalam lagu ini,” katanya.

Berazam untuk memperkaya lagi karya mereka, pembabitan Taja dalam menghasilkan lagu ini juga satu kelebihan. Bagi mereka, bekerja dengan komposer berpengalaman dan tersohor itu menjadikan lagu ini lebih bermakna.

“Proses untuk menulis dan merakam lagu ini mengambil masa yang agak panjang dan berlaku percanggahan hala tuju kreatif lagu ini sehinggalah kami membawa masuk Taja untuk menjadi penerbit bersama. Ternyata ia percaturan terbaik apabila proses pembikinannya terus bertukar menjadi lancar,” katanya. (*)

Tinggalkan Balasan

Situs ini menggunakan Akismet untuk mengurangi spam. Pelajari bagaimana data komentar Anda diproses.